Home Ekonomi Agro bank perbankan pertama tandatangani IBR

Agro bank perbankan pertama tandatangani IBR

Majlis menandatangani IBR diketuai oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Agrobank, Mad. Yusof Yazid dan disaksikan oleh Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

AYER KEROH – Agrobank muncul sebagai institusi pembangunan kewangan pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), menyahut inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Majlis melafaz dan menandatangani IBR diketuai oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Agrobank, Mad. Yusof Yazid dan disaksikan oleh Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Shamshun Baharin dalam ucapannya berkata, penglibatan warga kerja Agrobank dalam majlis berkenaan jelas mencerminkan komitmen bagi memastikan institusi tersebut dan negara ini bersih dan bebas daripada belenggu jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

“Tindakan para kepimpinan Agrobank menandatangani IBR jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen dan keinginan institusi ini untuk mewujudkan sebuah persekitaran kerja yang kondusif dan bebas rasuah,” katanya.

Tambah beliau, aspirasi dan kesedaran tersebut patut dipuji dan harus menjadi contoh kepada institusi-institusi kewangan lain di seluruh negara untuk sama-sama memerangi rasuah bersama SPRM.

IBR merupakan inisiatif baharu oleh SPRM untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette