Home Ekonomi Bursa Malaysia mendatar minggu ini

Bursa Malaysia mendatar minggu ini

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan mendatar minggu depan, dengan indeks petunjuk pasaran bergerak antara paras 1,700 dan 1,710, kata peniaga.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, pasaran menyaksikan tempoh pelabur menjual pegangan susulan peningkatan baru-baru ini dan ia dijangka mendatar.

“Ia dijangka tidak bergerak lebih jauh, tetapi selepas aktiviti pengambilan untung, ia mungkin menjadi dagangan lebih lengang, dan menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil pada paras antara 1,700 dan 1,710,” katanya kepada Bernama.

Memandangkan sentimen pasaran kurang memberangsangkan sejak dua hari lepas, Pong menjangka aliran penurunan akan berterusan hingga pada minggu berikutnya.

“Memandangkan sentimen pasaran masih terlalu lemah, ia dijangka terus susut hingga minggu depan, dan pulih sedikit pada akhir minggu ini,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran tempatan menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil, disokong oleh data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik daripada jangkaan dan terjejas oleh penurunan dalam saham wajaran tinggi yang didahului oleh kaunter perdagangan dan perkhidmatan.

KLCI mula kehilangan momentum kenaikannya sejak Khamis susulan aktiviti pengambilan untung, dan sejajar dengan aliran penurunan di pasaran serantau.

Pada asas mingguan, FBM KLCI susut 9.33 mata kepada 1,698.35 daripada 1,707.68 pada Jumaat lepas. Indeks FBM Emas jatuh 45.66 mata kepada 11,975.51, Indeks FBMT 100 berkurangan 46.8 mata kepada 11,652.55 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 134.6 mata kepada 12,390.26.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 60.7 mata kepada 15,127.70 dan Indeks Perusahaan naik 7.37 mata kepada 3,285.28, bagaimanapun Indeks Perladangan jatuh 76.07 mata kepada 8,070.35. Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 13.88 bilion unit bernilai RM12.59 bilion daripada 11.34 bilion unit bernilai RM12.19 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 10.12 bilion saham bernilai RM11.92 bilion berbanding 8.22 bilion saham bernilai RM11.62 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.06 bilion unit bernilai RM147.99 juta daripada 872.14 juta unit bernilai RM113.42 juta. Pasaran ACE menokok kepada 2.35 bilion saham bernilai RM511.03 juta daripada 2.16 bilion saham bernilai RM450.25 juta. – MalaysiaGazette