Kim Jong-Nam
Sepaasukan Letupan Nuklear, Biologi, Radiologi dan Kimia (CBRNe) Makmal Forensik PDRM, Team AZMAT dan CBRNe Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memulakan operasi mengesan bahan toksik dan kimia di sekitar kawasan kematian Kim Jong-Nam yang mati dibunuh pada 13 februari lalu di KLIA2, Sepang. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2017.

SEPANG – Polis mula menjalankan operasi pengesanan dan pemeriksa kewujudan bahan kimia toksid atau bahan berbahaya di lokasi kejadian pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pukul 1.50 pagi ini.

Pasukan yang terlibat dalam operasi itu ialah Pasukan Letupan Nuklear, Biologi, Radiologi dan Kimia (CBRNe), Makmal Forensik Polis Di-Raja Malaysia, CBRNe Bomba dan Penyelamat, pasukan Hazmat, serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Pemantauan awal MalaysiaGazette mendapati sekumpulan polis berkumpul di lokasi sasaran dengan kawasan tersebut ditutup dengan menggunakan pita kuning.

Ia membabitkan empat kawasan utama iaitu lokasi muka Jong-nam diserkup kain, dua tandas awam dan laluan menuju ke klinik klia2.

Operasi awal pagi ini dikawal oleh sekumpulan besar anggota polis dan dijangka mengambil masa selama sejam.

Operasi itu dilakukan susulan kejadian pembunuhan Jong-nam yang merupakan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di klia2 pada 13 Februari lalu. – MalaysiaGazette