Raja Salman Abdulaziz Al Saud bersama Najib Razak menyaksikan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) yang mewakili Malaysia dan Menteri Negeri Arab Saudi, Dr. Ibrahim Assaf (kiri) menadatangani Memorandum Persefahaman untk bekerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan di Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 FEBRUARI 2017.

PUTRAJAYA – Malaysia dan Arab Saudi hari ini menandatangani empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pemeteraian MoU itu dilakukan selepas pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud di Sri Perdana di sini.

Empat MoU yang ditandatangani itu membabitkan kerjasama dalam bidang saintifik dan pendidikan, perdagangan dan pelaburan serta buruh dan sumber manusia.

Mou turut ditandatangani antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Saudi Press Agency (SPA) bagi menjalankan kerjasama dan pertukaran berita antara kedua-dua agensi itu.

Arab Saudi merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malayia di Timur Tengah, dengan dagangan antara kedua-dua negara menyaksikan peningkatan sebanyak 19.8 peratus pada tahun lepas dan kini berjumlah RM13.12 bilion. – MalaysiaGazette