Abdul Latif Bandi
ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi mula bercuti hari ini untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.

Media difahamkan Abdul Latif yang anak serta pegawai khasnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini, memohon bercuti daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini.

Beliau dikatakan mengadakan perjumpaan singkat dengan Mohamed Khaled pada 9.30 pagi di Pejabat Menteri Besar, sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri bermula.

“Dia (bercuti) nak uruskan isu yang ada kaitan dengan keluarga dan pegawai dia,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Johor Datuk Md Jais Sarday ketika mengesahkan perkara itu kepada media di Kota Iskandar Rabu.

Katanya susulan itu segala urusan berkaitan portfolio Abd Latif ditangguhkan manakala hal berkaitan pentadbiran akan dirujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sementara urusan penting berkaitan dasar dikendalikan oleh Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Md Jais menegaskan permohonan cuti itu bukan bermakna Latif terlibat dalam kes berkenaan.

“Dia (Abd Latif) memang tidak disabitkan dengan siasatan atau dakwaan. Kena jelas tu,” tegasnya.

Beliau juga berkata isu berhubung rasuah tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco hari ini.

Sebaliknya, kata Md Jais, Menteri Besar hanya memaklumkan mengenai permohonan cuti Abd Latif.

Pada 24 Feb lalu, enam lelaki termasuk anak dan pegawai khas seorang exco kerajaan negeri Johor ditahan SPRM dipercayai terlibat dengan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Semalam, SPRM menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan.

— BERNAMA