Datuk Seri Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz menyifatkan Proton sebagai satu projek yang gagal daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Apa yang dicapai oleh Proton kini menjadi beban kepada kerajaan dan menanggung segala perbelanjaan syarikat pengeluar kereta nasional itu.

“Ia fakta bahawa saya rasa projek itu adalah gagal. Kenapa saya kata gagal adalah kerana mereka (Proton) minta kita duit berbilion untuk bantu mereka. Bagaimana projek itu berjaya kalau masih setiap tahun jumpa kerajaan untuk minta peruntukan.

“Jadi, ini apa yang kita dapat daripada dia (Mahathir). Ini adalah projek gajah putih. Kalau syarikat itu tutup, masyarakat akan salahkan kerajaan. Jadi, kita kena cari jalan untuk menyelamatkan, China ada ekuiti itu adalah perkara baik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Jualan Nasional Malaysia 2017 hari ini.

Nazri diminta mengulas mengenai entri terbaharu Mahathir yang sedih dengan sikap masyarakat mengutuk mutu kereta nasional itu di blognya baru-baru ini.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, penjualan kepentingan dalam syarikat pengeluar kereta nasional itu kepada syarikat asing tidak akan memberi manfaat kepada negara.

Dalam tulisan di blognya Mahathir menyatakan, “Saya bimbang sekiranya kita tidak lagi memiliki Proton, industri automotif Malaysia akan mengalami kerugian yang besar. Vendor dan pembekal komponen akan tutup kedai. Banyak pekerja akan kehilangan pekerjaan. Dan kapasiti kejuruteraan Malaysia akan dikurangkan,” tulis Mahathir.

Mengulas mengenai itu, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, penjualan ekuiti kepada China adalah jalan terbaik kerajaan tanpa perlu menutup syarikat berkenaan.

“Projek (Proton) dia adalah gagal. Kita tidak boleh atasi lagi dan salah satunya adalah menjual sebahagian daripada ekuiti.

“Kegagalan bukan dipihak kerajaan tapi dipihak dia (Mahathir),” kata Nazri lagi.-MalaysiaGazette