Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Perang isu debat antara Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berterusan, terbaharu Mufti Perlis itu dibidas sebagai sombong.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang membuat tawaran kepada Asri berhubung dialog pindaan RUU 355 tidak berpuas hati dan menyelarnya sebagai tidak mencerminkan akhlak Islam tambah-tambah seorang bergelar mufti.

“Bagi saya, jawapan ini tidak menggambarkan akhlak seorang Islam, apa lagi akhlak seorang yang bertaraf mufti. Ia dipenuhi oleh nada kesombongan, keangkuhan dan kemegahan dengan ilmu dimiliki. Tidak hairanlah mengapa undangan saya kepada beliau sejak 15 Februari lalu tidak terjawab.

“Untuk pengetahuan Mohd Asri, saya hanyalah sekadar pensyarah universiti sahaja dan jemputan saya kepada beliau dan Khairuddin hanyalah jemputan biasa MAPAN, UUM, kepada tokoh-tokoh negara untuk membicarakan topik yang menjadi isu semasa negara sahaja,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Malah, Kamarul Zaman juga terkejut kerana sepanjang MAPAN membuat undangan tidak pernah ada tokoh yang menolak seperti dibuat oleh Asri.

“Sejak menjadi Pengarah MAPAN, belum ada lagi tokoh yang langsung tidak menjawab undangan kepada mereka melainkan tokoh yang bergelar Mufti Perlis ini.

“Paling tidak, mereka masih ada budi bahasa, walaupun tidak kenal secara peribadi, untuk memaklumkan tidak dapat memenuhi undangan,” ujarnya lagi.

Semalam, Asri menegaskan, hanya akan berdialog dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pindaan RUU 355 dan bukan pemimpin lain dalam parti Islam itu.

Kenyataan Asri itu dibuat susulan gesaan supaya beliau menerima tawaran untuk berdebat dengan Khairuddin kerana bertentangan pendapat dalam isu undang-undang Islam itu.

Asri memberi alasan beliau tidak pernah mengajak sesiapa untuk berdebat dengannya dalam isu RUU itu seperti didakwa oleh pihak tertentu.

Kamarul Zaman sebelum ini berkata, debat mengenai pindaan Akta 355 itu patut berlangsung antara Khairuddin dengan Asri. – MalaysiaGazette