Home Sukan Jorge Sampaoli ganti Luis Enrique di Barcelona

Jorge Sampaoli ganti Luis Enrique di Barcelona

BARCELONA – Barcelona akan mengumumkan Jorge Sampaoli sebagai pengurus baharu kelab itu pada akhir musim ini.

Starsports difahamkan Pengurus Sevilla itu merupakan calon utama senarai pengganti Luis Enrique.

Semalam, Enrique mengumumkan akan meninggalkan Camp Nou pada hujung musim ini.

Keputusan mengejut itu diumumkan Enrique selepas pasukannya mencatat kemenangan besar 6-1 ke atas Sporting Gijon dalam aksi liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Enrique telah mengemudi Barcelona sejak Mei 2014 dan sedang berada pada tahun terakhir kontrak.

Sumber berkata, beberapa calon disenaraikan pengganti Enrique iaitu Ronald Koeman, Jurgen Klopp dan Ernesto Valverde.

“Tetapi saya mendengar nama pengurus Sevilla, Sampaoli disebut sebagai calon yang layak untuk tugas di Barcelona,” menurut sumber itu.

Sampaoli menjulang Copa America bersama Chile pada tahun 2015 sebelum meletakkan jawatan pada Januari 2016.

Dia telah menandatangani kontra dua tahun bersama Sevilla pada musim lalu dan berjaya membawa pasukan itu ke tempat ketiga dalam saingan liga.

Pada Januari, Sevilla berjaya menamatkan badi tanpa kalah 40 dengan Real Madrid dengan menewaskan juara Eropah itu 2-1.

Di bawah kendalian Enrique yang menggantikan Gerardo Martino., Barcelona memenangi lapan kejuaraan.

Namun, pengurus yang berusia 46 tahun itu berdepan kritikan sejak Barcelona dimalukan 1-4 dalam aksi Juara-Juara Eropah ketika berhadapan Paris Saint Germain.

“Ia satu keputusan sukar untuk saya, tetapi saya perlu ikhlas pada diri sendiri,” katanya.