Kereta polis yang dipercayai membawa suspek warga Korea Utara, Ri Jong-Chol kelihatan dibawa masuk ke parkir di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 03 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Warga Korea Utara, Ri Jong-Chol yang dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara akan kembali ke negara asalnya hari ini.

Beliau telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen di Putrajaya pada pukul 9.30 pgi tadi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penyerahan Jong-Chol, 47, untuk pengusiran ke negara asalnya sebagaimana keputusan yang telah dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.

“Beliau diringi dua orang wakil Kedutaan Korea Utara dijadualkan akan berlepas ke negara asal pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal pagi tadi, Jong-Chol diiringi enam kenderaan polis dibawa keluar dari IPD Sepang untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebelum diusir keluar ke negaranya.

Beliau yang dilengkapi dengan jaket kalis peluru dan dikawal ketat tiba di Jabatan Imigresen di Putrajaya pukul 9.15 pagi.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan mengusir keluar  Jong-chol ke negara asalnya berikutan kekurangan bahan buk­ti bagi menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan Jong-nam. – MalaysiaGazette