Yang Yaoru merupakan salah seorang yang terselamat dan gadis itu menceritakan bagaimana dia bermalam dengan terapung di laut.

NANJING – Salah seorang mangsa bot karam di perairan Sabah pada 28 Januari lalu menceritakan bagaimana tiga titis air kencing telah menyelamatkannya.

Dalam kejadian yang berlaku dalam perjalanan ke Pulau Mengalum dari Kota Kinabalu itu, sebanyak 20 mangsa berjaya diselamatkan, tetapi empat pelancong China maut manakala lima lagi termasuk seorang anak kapal masih gagal ditemui.

Yang Yaoru merupakan salah seorang yang terselamat dan gadis itu menceritakan bagaimana dia bermalam dengan terapung di laut.

Dalam keadaan kehausan yang melampau, gadis itu telah meminum tiga titis air kencing lelaki yang ditakung dalam penutup gincu.

“Mak saya menggunakan penutup gincu untuk menakung air kencing dari lelaki sebelah, setiap orang hanya boleh minum tiga titis.

“Ada yang tanya saya adakah ia menjijikkan? Bagi saya, tiga titis air kencing itu sangat berharga kerana ia disedekahkan walaupun orang itu juga memerlukannya,” katanya dalam wawancara dengan media China yang kemudian dipetik Sinchew Daily.

Bot yang dinaiki Yaoru mula dinaiki air selepas kira-kira sejam selepas memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu. Semua mangsa terapung melalui jaket keselamatan selain berpaut pada lima pelampung.

Usaha mendail panggilan kecemasan 911 dan 999 tidak kesampaian kerana di luar kawasan liputan telekomunikasi.

Pada mulanya, mereka menyangka akan diselamatkan dalam masa terdekat tetapi siapa yang tersangka mereka menunggu dari pukul 10 pagi hingga keesokan harinya.

“Saya tidak mungkin dapat melupakan malam itu, langitnya memang cantik dihiasi bintang-bintang dan udaranya sangat menyegarkan.

“Tetapi kami berada di laut yang gelap dan digigit ikan yang tidak dikenali, laut yang bergelora hanya menyulitkan keadaan,” katanya.

Tambahnya, seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun yang kemudiannya meninggal dunia tidak berani menangis kerana takut tertelan air laut.

Menurutnya lagi, semua mangsa mula kepenatan menjelang tengah hari keesokan harinya dan jaket keselamatan yang berkualiti rendah juga mula koyak.

“Disebabkan dehidrasi, kepenatan dan terminum air laut, ada yang meninggal dunia secara perlahan-perlahan,” katanya.

Yaoru berkata, mereka hanya diselamatkan apabila dia dan seorang ayah muda berenang ke arah darat dengan berpandukan dua kuntum awan.

Mereka akhirnya terserempak dengan kapal yang berlalu dan diselamatkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast