KUALA LUMPUR – Pelakon sensasi, Maria Farida kini berdepan saman sebanyak RM5 juta menerusi tuntutan balasan oleh seorang usahawan kosmetik, Karen Rahman.
Karen, pengasas produk kecantikan KR Beauty Care selaku defendan pertama mengemukakan saman tersebut melalui firma guaman, Messr Farid Aziz & Com di Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Februari lalu.
Saman itu dikemukakan sebagai tuntutan balasan selepas Maria sebagai plaintif terlebih dahulu mengemukakan saman malu terhadap Karen dan defendan kedua yang juga anaknya, Nur Shazleen Anis Rahman pada 30 Disember 2016.
Berdasarkan pernyataan tuntutan balas, Karen mendakwa, plaintif telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung hak penjagaan anak yang menuduhnya menyerahkan anak kepada bekas suaminya sebaliknya ia didakwanya keputusan bersama.
Karen juga mendakwa, Maria telah membuat beberapa kenyataan terbuka di media cetak dan massa dengan menuduhnya dirinya tidak membayar wang duta produk selain dalang yang menyimbah cat di kereta aktres berkenaan.
“Namun hasil siasatan polis menunjukkan tiada kes yang boleh mengaitkan saya dengan tuduhan simbah cat itu.
“Akibat daripada artikel dan rakaman video plaintif di media telah menyebabkan saya mengalami kerugian teruk dari segi reputasi, kerjaya dan kewangan menerusi perniagaan saya.
“Oleh itu, saya menerusi tuntutan balasa menyaman Maria sebanyak RM5 juta, ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos,” katanya pada sidang media khas di sini semalam.
Turut hadir, penasihat undang-undang dan peguam yang mewakili Karen, Datuk Izham Kamal Ismail dan Zaid Roslan.
Karen menjelaskan, beliau mengenali Maria sejak hujung tahun 2012 dan selepas itu mereka bersahabat.
“Ketika dia susah, saya selalu bertanya khabar dan ajak keluar untuk makan. Malah saya pernah beri wang belanja kepadanya.
“Sampai pergi bercuti keluar negara saya bawa Maria sekali naik penerbangan kelas perniagaan dan bayar ketika dia membeli-belah.
“Saya sudah anggap dia macam kawan baik dan keluar masuk rumah saya pun ikut tetapi akhirnya dia ‘angkut’ suami saya (ketika itu) sekali keluar rumah,” katanya yang sah bercerai pada denga bekas suami pada 26 Oktober 2015.
Jelas Karen, dalam tempoh sebulan selepas bercerai, aktres itu bernikah dengan Rahman pada 26 November tahun yang sama.
Ibu kepada lima anak itu berkata, aktres itu menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya ketika itu, Datuk Rahman Shakur pada Julai 2015 sebelum dia dapat ‘menghidu’ perbuatan mereka pada bulan berikutnya.
“Saya lantik Maria sebagai duta kepada dua produk syarikat saya dengan perjanjian setahun bermula 1 November 2014 tetapi tidak sampai setahun pada bulan Julai 2015, dia mendakwa menghantar surat untuk tidak mahu menjadi duta lagi kepada Rahman.
“Saya tidak terima suratnya itu dan kenapa perlu diserahkan kepada Rahman yang tiada kaitan dengan syarikat saya.
“Bayaran sebagai duta pun sudah saya selesaikan dan semua bukti transaksi saya ada.
“Malah saya juga memiliki bukti Rahman dan Maria sentiasa berhubungan di telefon yang saya perolehi dari syarikat telekomunikasi termasuk jumlah bil yang dikenakan,” katanya.
Sementara itu, Zaid memberitahu, pendengaran injunksi interim yang dikemukakan oleh Maria akan berlangsung pada 13 April ini. – MalaysiaGazette