Gianluigi Donnarumma

MANCHESTER – Pengurus Manchester United , Jose Mourinho memulakan pencarian penjaga gol bagi menggantikan penjaga gol terbaik dunia, David de Gea di Old Trafford.

Penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu kembali menjadi topik perbualan dunia bola sepak apabila sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Walaupun Red Devils sudah menyatakan pendiriannya bekas penjaga gol Atletico Madrid itu bukan untuk dijual dan sebahagian pelan jangka panjang di Old Trafford, spekulasi terus menyelubungi De Gea.

Hampir setiap hari berita mengaitkan de Gea dengan Real Madrid menghiasi akhbar dan portal berita dunia.

Kini, Jose Mourinho mula risau akan kehilangan penjaga gol berkelas dunia kelahiran Sepanyol itu.

Masa depan berjangka panjang de Gea bersama Manchester United kini terumbang ambing apabila dikaitkan semula dengan pasukan Santiago Bernabeu selepas gergasi la Liga Sepanyol itu gagal mengikat pemain itu pada musim lalu.

Sebagai langkah selamat, Mourinho yang lebih dikenali sebagai The Special One sudah memulakan pencarian pengganti paling berkelayakan sekiranya de Gea ditakdirkan meninggalkan Theatre Of Dreams.

Terbaharu, Mourinho dikhabarkan mengadakan perbincangan dengan agent super Mino Raiola untuk membeli penjaga gol termuda AC Milan, Gianluigi Donnarumma.

Old Trafford dikatakan sedia membayar £43 juta untuk khidmat penjaga gol termuda.

Selain itu Man United juga sanggup menawarkan gaji £2.5 juta setahun tetapi AC Milan dilaporkan tidak sanggup melepaskan pemain polifik itu buat masa sekarang.

Sekiranya kontrak itu termeterai, Donnarumma bakal muncul sebagai penjaga gol muda termahal di dunia selepas ini.

Beberapa kelab tersohor sedang merebut untuk mendapatkan khidmat Donnarumma selepas muncul sebagai penjaga gol termuda terbaik di Eropah ketika ini.- MalaysiaGazette