KUALA LUMPUR – Sehingga pukul 8 malam ini, tiada tanda-tanda Duta Besar Korea Utara, Kang Chol berada di bangunan kedutaaan malah kenderaan rasminya juga tidak kelihatan sehingga menimbulkan tanda tanya di mana beliau sebenarnya.

Tinjauan Malaysia Gazette yang berkampung di sini seawal jam 6 pagi tadi mendapati Kang Chol yang kini berstatus Persona Non Grata tidak langsung berada di sini biarpun beberapa kenderaan rasmi kedutaan dilihat keluar masuk bangunan berkenaan.

Sehingga jam 7.20 malam tadi, semua kenderaan rasmi kedutaan sudah meninggalkan premis berkenaan termasuk yang terakhir adalah konsulat Korea Utara, Kim Yu-song.

Beliau didapati meninggalkan kedutaan bersama-sama dua individu dan seorang kanak-kanak dipercayai anak beliau.

Terdahulu, wakil delegasi tertinggi Korea Utara Ri Tong il dilihat meninggalkan perkarangan kedutaan jam 5.20 petang tadi.

 Bekas Duta Besar Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ri Tong Il kelihatan menaiki kereta sebelum keluar dari Kedutaan Korea Utara di Damansara. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2017
Bekas Duta Besar Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ri Tong Il kelihatan menaiki kereta sebelum keluar dari Kedutaan Korea Utara di Damansara. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2017

Turut bersamanya dipercayai Hyon Kwang-song selaku Setiausaha Kedua Korea Utara ke Malaysia yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kwang-song adalah individu yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama empat suspek Korea Utara yang dikatakan telah kembali ke Pyongyang ialah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.

Kang Chol semalam diberikan tempoh 48 jam untuk keluar daripada negara ini selepas gagal menghadirkan diri di Wisma Putra dan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada kerajaan Malaysia.

Ia berikutan kegagalan beliau menghadirkan diri di Kementerian Luar pada Jumaat.

Seorang wartawan dilihat berdiri berhampiran papantanda Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 MAC 2017
Seorang wartawan dilihat berdiri berhampiran papantanda Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 MAC 2017

Kegagalan Kang Chol menghadirkan diri di Wisma Putra menyebabkan kerajaan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai Persona Non Grata yang bermaksud ‘Orang yang Tidak Dihargai’.

Seseorang yang diisytiharkan sedemikian dilarang memasuki atau terus berada di sesebuah negara.

Kang Chol diberikan tempoh sehingga jam 6 petang esok untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette.