Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pengakuan Datuk Seri Azmin Ali berhubung pelantikan individu muflis dalam Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) membuktikan Menteri Besar Selangor itu mentadbir negeri tersebut sesuka hati beliau tanpa melalui proses yang sepatutnya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, corak pentadbiran Azmin yang tidak menyemak terlebih dahulu status seseorang individu sebelum dilantik untuk menguruskan agensi penting adalah bertentangan dengan amalan kebiasaan mana-mana kerajaan negeri.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri ditadbir beliau tidak teliti, patutnya sebelum nak melantik seseorang pegawai tinggi mereka perlu menyemak bukan sahaja daripada SPRM (Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia), mereka juga patut semak dengan Jabatan Insolvensi.

“Ini saya ingat amalan yang kita buat, kalau kita nak naik pangkat kita kena buat semakan dahulu, seperti dengan SPRM, Insolvensi dan polis,” kata Noh semasa ditemui selepas Perasmian Persidangan Sidang Parlimen Ke-13 bagi Sesi Kelima pagi ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu kemudiaan membidas sikap pentadbiran Azmin yang suka membuat keputusan sesuka hati tanpa merujuk pihak berkepentingan terlebih dahulu dengan memberikan contoh kemelut yang dialami oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum ini.

“Ini menunjukkan Menteri Besar mentadbir negeri Selangor sesuka hati dia, begitu juga bagaimana dia buat sesuka hati dalam isu bola sepak baru-baru ini.

“Semasa dalam FAS, beliau buat ikut cara beliau, tidak panggil mesyuarat, pecat jurulatih, tukar permit tanpa bawa ke lembaga FAS. Akhirnya, ahli-ahli lembaga FAS tolak kepimpinan dia, maka dia lepas tangan dan mengundur diri,” katanya.

Semua yang berlaku ini menunjukkan Azmin gagal mengurus kerajaan negeri dengan baik, kata Noh lagi.

Azmin baru-baru ini mengakui individu yang dilantik menguruskan YAWAS adalah seorang muflis selepas pendedahan dibuat oleh oleh Presiden Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal juga membuat laporan kepada SPRM melibatkan penyelewengan dana YAWAS di mana keraguan transaksi dana berjumlah RM200 juta yang sepatutnya digunakan bagi program kebajikan rakyat Selangor tapi disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang bukan di Selangor.