Amanat Presiden entah ke mana, nama mereka pula dijual di kampung.

SEJAK sebulan lalu saya perhatikan seperti ada suatu fenomena luar biasa tapi bukan luar biasa sangat pun. Ia biasa-biasa sahaja.

Bekas-bekas calon yang kalah pada PRU-13 mula muncul dikampung, di Pusat Dalam Mengundi (PDM) dan di kedai-kedai kopi, mengopi.

Mereka juga adakan sesi perjumpaan dengan jentera masing-masing dalam kumpulan yang kecil. Mereka jadikan restoran dan lobi hotel tiga bintang sebagai ‘port’ untuk rangka pelan, rancang strategi.

Biasanya, kemunculan mereka itu sebagai tanda awal PRU nak datang. Memasang angan-angan nak jadi calon walaupun di kawasan yang mereka pilih nak bertanding itu masih ada penyandang.

Selain itu, saya juga perhatikan ada banyak muka baru yang mula bertapak sementara di kawasan terrtentu dalam Parlimen mahupun DUN. Kiri kanan ‘calon’ ini pula diapit dua tiga kerat orang-orang parti yang hanya berjawatan ahli jawatankuasa.

Adakah ini ‘calonnya’? Ini jentera kempennya? Nampaknya, parti akan berdepan dengan masalah besar lagi. Masalah lambakan ‘calon’ berbanding jumlah kerusi yang ada bakal berlaku.

Saya ambil contoh paling mudah di Kelantan. Penyandang sedia ada ketika ini di kerusi Parlimen seramai 14 orang. Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada pun sudah ada 45 orang.

Jumlah ini belum kira ketua-ketua bahagian, timbalan-timbalan bahagian, naib-naib bahagian, ketua wanita, ketua pemuda, ketua puteri dan barisan biro politik yang selama ini menanam cita-cita nak jadi calon.

Ini juga tidak termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan yang hampir bersara, bekas-bekas calon yang kalah PRU-13, AJK-AJK parti yang merasakan kalau mereka calon di situ, pasti akan menang.

Jadi, tidak hairanlah kalau dalam satu malam – ketika ini – di satu kampung saja ada antara 10 hingga 15 kumpulan kecil yang bergerak melobi atau memperkenalkan ‘calon’ masing-masing kepada penduduk.

Pendek kata ketika ini, penduduk tak menang tangan menyambut tetamu, sama ada yang mereka kenal atau tak kenal datang ke rumah. Sambil salam kaut sambil menyambut buah tangan.

Senario ini hanya berlaku empat tahun sekali. Bukan hari-hari.

Lagi pun, bukan senang nak terima kedatangan ‘calon-calon’ ini ke rumah walaupun mereka tahu pada hari biasa nak tengok kelibat batang hidung setahun sekali atau dua tiga tahun sekalipun payah.

Apa yang saya nampak di sini ialah ‘calon-calon’ bidan terjun ini silap faham dengan Taklimat Presiden UMNO atau ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 Disember lalu.

Dalam taklimat itu, Datuk Seri Najib Razak memberi bayangan atau isyarat kepada perwakilan bahawa PRU-14 akan datang tak lama lagi. Maka mereka dan jentera masing-masing perlulah bersiap siaga dari sekarang.

Makna kepada peringatan ini ialah semua perwakilan harus membantu parti. Pertamanya, bagaimana nak tarik seramai mungkin sokongan orang ramai. Kedua, bagaimana menambah jumlah undi yang merosot, dan ketiganya, memulihkan keyakinan rakyat kepada parti.

Tapi lain pula jadinya. Mereka turun ke kawasan bukan menyampaikan mesej Presiden merangkap Perdana Menteri, tetapi turun dengan lagak kononnya merekalah calon yang PM restu.

Habis lenyap hilang segala amanat dan harapan PM yang mengharapkan pesanannya itu sampai ke jiwa rakyat.

‘Calon-calon’ bidan terjun ini telah membelakangkan hasrat Presiden. Mereka berkempen bukan untuk calon pilihan Presiden, tapi berkempen untuk diri sendiri.

Sudah tentu dalam kempen itu, nama PM, nama TPM, nama-nama menteri dan nama-nama Pengerusi Perhubungan Negeri diguna dan dijual sewenang-wenangnya.

Masing-masing dengan misi dan visi tersendiri. Walaupun hakikatnya mereka tidak layak sama sekali untuk dicalonkan bertanding pada PRU-14 ini.

Sebab itu, kalau kita masuk ke kampung, singgah di kedai kopi, kita dihidangkan dengan perbualan orang kampung kononnya, calon ini dapat restu dari PM.

Kononnya, calon ini yang TPM pilih. Kononnya, calon ini yang menteri berkenan dan kononnya calon ini yang Pengerusi Perhubungan Negeri cadangkan kepada pucuk pimpinan.

Mereka tidak tahu, gelagat mereka ini dah dihidu awal oleh rakyat. Rakyat hari ini bukan seperti zaman dahulu. Datanglah 10 atau 20 ‘calon-calon’ bidan terjun sekalipun. Umpan tetap mereka makan, mata kail mereka buang.

Apa yang saya dapat simpulkan di sini, nampaknya ‘calon-calon’ tidak ini pernah ambil iktibar daripada PRU lepas-lepas.

Ketua bahagian yang pilih calon mereka kehendaki, kemudian angkat kepada Pengerusi Perhubungan, manakala Pengerusi Perhubungan pula buat penapisan sebelum serah kepada Perdana Menteri.

Hanya calon yang berkenan di hati Perdana Menteri sahaja yang akan dipilih. Jumlahnya adalah mengikut bilangan kerusi yang ada di DUN dan Parlimen.

Hari ini mungkin ‘calon-calon’ ini seronok. Tetapi esok berlinang air matalah bila nama mereka tidak tersenarai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast