1MDB
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memohon untuk membatalkan saman difailkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee berhubung dakwaan salah laku membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom yang mewakili kerajaan selaku defendan kedua dalam kes saman itu memohon untuk membatalkan saman itu pada 2 Mac lalu atas alasan Pua tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan tuntutan tersebut.

“Tuntutan saman plaintif (Pua) juga tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan saman itu juga suatu yang remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’Hara hari ini.

Sementara itu, peguam Nor Hazira Abu Haiyan mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak selaku defendan pertama dalam saman berkenaan berkata mahkamah menetapkan 22 Mei untuk mendengar permohonan perdana menteri dan kerajaan bagi membatalkan saman Pua.

Najib memohon untuk membatalkan saman itu pada 14 Feb lalu atas alasan bahawa beliau bukan penjawat awam seperti didakwa Pua dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya.

Turut hadir dalam prosiding itu peguam Joanne Chua mewakili Pua.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Jan lalu atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan, membabitkan dana 1MDB dan menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

— BERNAMA