Reezal Merican Naina Merican.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara yang disekat masuk ke negara Amerika Syarikat (AS) walaupun penduduknya bermajoriti umat Islam.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata arahan eksekutif ke atas tujuh negara majoriti Islam yang dikeluarkan Amerika adalah tidak termasuk Malaysia, malah kerajaan juga sudah menghubungi Kedutaan Besar Amerika berhubung isu tersebut.

“Malaysia tidak termasuk di dalam senarai tersebut dan tidak terkesan dengan arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

“Kementerian Luar Negeri juga telah mendapatkan pengesahan Kedutaan Besar Amerika di Kuala Lumpur bahawa tiada halangan bagi rakyat Malaysia memasuki negara tersebut asalkan mempunyai visa dan dokumen perjalanan yang lengkap,” kata Reezal semasa menjawab pertanyaan lisan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berhubung isu membabitkan Amerika Syarikat di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Reezal menegaskan kerajaan Malaysia tidak mencampuri sebarang urusan membabitkan arahan dikeluarkan Amerika itu disebabkan sesebuah negara berhak untuk menentukan hala tuju dan dasar yang difikirkan bersesuaian demi kepentingan rakyat dan negara itu.

“Malaysia berpendapat bahawa pengeluaran arahan tersebut adalah hak pentadbiran negara berkenaan dan merupakan tindakan yang mereka fikirkan perlu untuk menjaga kestabilan dan keamanan dalaman negara mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Reezal berkata, Malaysia yakin pentadbiran baharu Amerika akan meneruskan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara di rantau ini.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan pentadbiran baharu Amerika untuk memastikan kesinambungan hubungan kerjasama dua hala terus kukuh dan pada masa sama memastikan kepentingan Malaysia terjamin di masa hadapan,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette