foto: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 dengan rampasan 2,550 liter minyak.

Rampasan itu dibuat dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Kawasan Perindustrian Klebang Bestari, Chemor, Perak pada 11 Mei lepas oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya pada 10 malam hasil aduan orang awam dan risikan KPDN.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil maklumat awal yang diperoleh, modus operandi sindiket itu menggunakan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sebelum minyak itu dikumpulkan serta diedarkan di pasaran gelap.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa KPDN, sebuah daripada dua buah lori yang sedang dipantau berjaya dilarikan manakala seorang pemandu bagi sebuah lagi lori bertindak melarikan diri meninggalkan lori dalam keadaan enjin masih hidup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata, hasil pemeriksaan lanjut, anggota pasukan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 2,550 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

“Sebuah lori, tiga buah tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang mengandungi minyak diesel, hos paip, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemukan dalam lori itu telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM19,492.50,” katanya.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel itu termasuk sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan.

Beliau berkata, KPDN giat melaksanakan pemantauan berterusan termasuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain untuk mengesan sebuah lagi lori yang berjaya dilarikan itu.

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan denda tidak lebih RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Selain itu, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi. – Bernama