GEORGE TOWN – Seorang peniaga kedai runcit mendakwa mengalami kerugian lebih RM120,000 akibat diperdaya ejen yang menguruskan sewaan premis.
Mangsa, Nurfairuz Majumder Md Shah Alam, 37, mendakwa dia menyewa sebuah premis bagi menjalankan perniagaan kedai runcit di Taman Semarak 3, Nilai, Negeri Sembilan sejak 2020 dengan kadar sewa RM3,30 sebulan.
“Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu dia menerima mesej daripada ejen yang menguruskan sewaan premis tersebut untuk membayar sejumlah wang bagi urusan jual beli premis tersebut.
“Sejumlah dimasukkan ke dua akaun bank atas nama wanita berkenaan sebagai deposit secara berperingkat sementara menunggu kelulusan pinjaman.
“Namun, pada April lalu pemilik premis berkenaan meminta saya mengosongkan premis susulan ia telah dijual kepada pemilik baru,” katanya hari ini
Tambahnya, pemilik turut mendakwa tiada maklumat diterima daripada ejen berkenaan berhubung dirinya telah memberikan deposit untuk membeli premis tersebut.
“Saya kemudian diminta mengosongkan premis dengan kadar segera meskipun perjanjian sewa selama tiga tahun tamat Disember ini.
“Keadaan menjadi lebih rumit apabila ejen wanita itu enggan memulangkan wang pendahuluan yang diberikan sebelum ini bagi proses pembelian premis tersebut,” katanya sambil menambah satu laporan polis berhubung kejadian telah dibuat pada 3 Mei lalu.
Sementara itu, Presiden PKMM, L. Francis berkata, beliau harap pihak polis segera menjalankan siasatan berhubung perkara ini memandangkan mangsa bukan saja mengalami kerugian malah turut berdepan situasi perlu mengosongkan premis perniagaan.
“Perniagaan kedai runcit itu mata pencarian mereka jika perlu mengosongkannya semestinya memberi kerugian besar tambahan pula duit simpanan turut lesap diperdaya ejen.
“Kita juga akan dapatkan khidmat bantuan guaman kepada mangsa sekurang-kurangnya bagi memastikan dia boleh berniaga sehingga tamat perjanjian iaitu Disember ini,” katanya. – MalaysiaGazette