NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di negeri ini.
Ia susulan bantahan pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Dual Language Programme (DLP) yang dijalankan di sekolah mereka.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu akan dilakukan sendiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Wong Kah Woh bagi mencari jalan menyelesaikan berhubung isu berbangkit daripada kumpulan berkenaan.
“Difahamkan isu berbangkit berkait bantahan PIBG mengenai dasar DLP untuk pengajaran subjek sains dan matematik, bukannya dihapuskan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Apa yang sampaikan itu hanya pandangan dan bantahan mereka supaya DLP diteruskan dalam bahasa Inggeris jadi saya yakin Menteri Pendidikan dan timbalannya akan teliti perkara ini dan menyelesaikan dengan baik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau terdahulu menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani di Sungai Bakap sini.
Mengulas lanjut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya tidak mahu ada pihak yang menangguk di air keruh dengan cuba mempolitikkan isu berkenaan termasuk menyentuh isu 3R (agama, raja, kaum) yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat.
“Ada beberapa pihak telah membuat persepsi tidak benar dalam isu berkenaan termasuk mengeluarkan kata-kata rasis serta membuat tohmahan tidak baik.
“Saya telah arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) teliti komen yang telah dibuat dan ambil tindakan sekiranya ada mana-mana individu atau warganet meletakkan komen rasis dan bersifat 3R.
Media semalam melaporkan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Ia berikutan sekolah separuh sekolah jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.
Justeru, mereka menggesa KPM mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam sains serta matematik. – MalaysiaGazette
















