Empat rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menyamar sebagai pegawai polis ke atas warga asing pada Mei lalu.
Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Empat rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang warga asing di ibu negara pada Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, M. Nanthini, 26, S.Lawannia, 28, Thaneshh, 23 dan M. Alagendran, 40 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi hari ini.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta iaitu wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit dengan kerugian sebanyak RM600 milik lelaki  warga Bangladesh, Ali Sayed.

Perbuatan itu dilakukan di mesin ATM RHB di Menara Shell pada 12 Mei lalu sekitar jam 9.31 malam mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh bagi kes ini.

Namun mereka yang tidak diwakili peguam merayu kadar jaminan dikurangkan dengan alasan tanggungan keluarga dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Di mahkamah sama, Nanthini, Thaneshh dan Alagendran berdepan dengan dua lagi pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dengan niat bersama  merompak seorang lelaki warga Bangladesh, Nasimul Hasan Naim iaitu sekeping kad ATM Hong Leong Bank hingga mangsa kerugian RM2,000 mengikut akta dan hukuman sama.

Pertuduhan kedua pula, ketiga-tiga tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai polis dengan tujuan melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta mangsa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Overseas Union di Brickfields pada 19 Mei lalu sekitar jam 11.20 malam.

Sementara itu, dua lagi tertuduh iaitu Lawannia dan Nur Hikmah Abu Bakar, 20 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam rompakan berkumpulan terhadap mangsa yang sama di lokasi, masa, tarikh serupa.

Bagi kesalahan tersebut mereka didakwa mengikut Seksyen 395 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 masing-masing dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 15 Julai depan untuk semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast