Khalid Abu Bakar

GEORGETOWN – Dua suspek rakyat Korea Utara yang dikehendaki membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam masih berada di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Hyong Kwang-song, 44, Setiausaha Kedua dipercayai bersembunyi di kedutaan itu manakala kakitangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37 di dalam negara.

Waran tangkap ke atas Uk-il telah dikeluarkan minggu lalu.

“Berapa lama mereka hendak bersembunyi. Kita bersedia menunggu mereka serah diri, walaupun dalam masa lima tahun lagi,” katanya ,” katanya Khalid selepas melancarkan Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa di sini.

Sepucuk surat yang meminta kerjasama Kwang-song juga telah dihantar melalui Wisma Putra untuk diserahkan kepada Kedutaan Korea Utara.

Polis juga telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan empat lagi lelaki Korea Utara yang meninggalkan negara ini sejurus selepas kes pembunuhan itu.

Katanya, polis telah menghantar notis biru kepada Interpol supaya di mana sahaja mereka, Interpol akan merujuk mereka kepada Malaysia, katanya

Tambah beliau, pihak berkuasa Korea Utara tidak memberi kerjasama meskipun permintaan supaya kedua-dua suspek itu diserahkan kepada polis telah dilakukan.

“Mereka tidak memberi kerjasama,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkembangan sama, Khalid yakin Malaysia akan memperoleh sampel DNA Kim Jong-nam daripada warisnya, walaupun ia mungkin mengambil masa yang lama.

Jelasnya, polis memerlukan DNA daripada warisnya kerana rekod perubatan dan pergigian lebih relevan untuk mengenal pasti mangsa-mangsa bencana. – MalaysiaGazette