Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya tidak membenarkan mana-mana pegawai dan kakitangan di Kedutaan Korea Utara keluar dari negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan daripada tindakan Korea Utara yang menghalang pegawai dan Kakitangan di Kedutaan Malaysia di negara itu keluar dari Pyongyang.

“Kuatkuasa ini merupakan arahan serta merta kepada Jabatan Imigresen di semua pintu-pintu keluar di seluruh negara.

“Kita tidak berhasrat untuk melakukan tindak balas tetapi inilah yang harus dilakukan apabila negara yang melakukan diplomatik dengan Malaysia melakukan tindakan diluar daripada ketatasusilaan dan kelaziman diplomatik.

“Malaysia telah mengambil tindakan sama kerana mereka telah memanipulasikan kes pembunuhan yang berlaku di klia2,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Zahid, Malaysia mahu menghantar mesej yang jelas kepada Korea Utara agar tidak menuding jari dan merendah-rendahkan negara ini yang merupakan sebuah negara berdaulat.

Katanya, siasatan terhadap lelaki warga Korea yang meninggal dunia di negara ini telah dibuat secara profesional oleh pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kimia dan Jabatan kesihatan serta lain-lain agensi yang terlibat dalam kes ini.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, langkah untuk mengeluarkan pegawai dan kakitangan di kedutaan Malaysia di Korea Utara adalah menerusi konvensyen Geneva yang telah sama-sama ditandatangani.

“Setakat ini kita tidak berhasrat untuk membawa perkara ini ke Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana kita yakin bahawa konvensyen Geneva yang ditandatangani oleh semua negara anggota akan dipatuhi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pasukan bolasepak Malaysia telah mengambil keputusan untuk tidak bermain di Pyongyang melawan pasukan Korea Utara.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mencadangkan beberapa tempat lain yangh lebih bebas daripada sebarang pengaruh dan ancaman untuk diadakan perlawanan tersebut.

Terdahulu, Pyongyang menghalang 11 rakyat Malaysia termasuk pegawai kedutaan Malaysia di sana keluar dari negara republik itu. – MalaysiaGazette