KUALA LUMPUR – Penyanyi remaja popular, Aiman Tino dihadiahkan sebuah kereta mewah bernilai RM1 juta selepas menjalinkan kerjasama dengan syarikat kosmetik Wonder Glow Cosmetics Sdn. Bhd. (Wonder Glow).
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin sambil mengesahkan model kereta tersebut adalah Audi R8.
Ryzal berkata, Aiman kini menjadi rakan strategik syarikat menerusi penghasilan produk jenama penyanyi itu dikenali Sweet Aiman.
Beliau menjelaskan Audi R8 akan menjadi kenderaan rasmi Aiman sepanjang mempromosi produk itu selama setahun.
“Kereta sebenarnya sudah dipandu uji oleh Aiman baru-baru ini namun saya tidak puas hati dengan warna kereta itu.
“Jadi kereta itu sekarang berada di bengkel untuk kerja-kerja menukar warna.
“Majlis penyerahan rasmi kereta itu akan diadakan di Mydin Senawang pada 23 Mac ini bersama peminat Aiman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Sweet Aiman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ryzal berkata, memandangkan Aiman tidak memiliki lesen memandu, penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci akan disediakan dengan seorang pemandu.
Sementara itu, Aiman yang popular dengan single kedua, Permata Cinta berkata, hadiah kereta itu diharap menjadi sumber inspirasinya untuk berjaya sebagai usahawan muda.
Dia juga memberitahu akan mengambil lesen memandu dalam masa terdekat bagi memudahkannya bergerak dengan kereta itu. – MalaysiaGazette