Azam Baki
Azam Baki

PUTRAJAYA – Tahap salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan penjawat awam tidak baik dan sangat serius berbanding 10 tahun lalu, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Azam Baki berkata, gejala ini meningkat berikutan kedegilan dan tindakan berani segelintir penjawat awam.

“Sekarang ini ramai orang di luar menganggap penjawat awam melakukan rasuah selepas beberapa siri insiden penangkapan.

“Akibatnya, keseluruhan penjawat awam lain yang berdisiplin dan berintegriti dalam perkhidmatan dimalukan,” katanya ketika berucap di Majlis Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama SPRM di bangunan kementerian itu di sini.

Menurut Azam, perbuatan rasuah dan salah guna kuasa segelintir kakitangan awam ini telah menutup sumbangan total penjawat awam cemerlang yang lain.

“Kita tidak boleh membenarkan situasi itu berlaku lagi,” tegasnya.

Azam mengingatkan para penjawat awam supaya tidak menganggap hadiah atau habuan yang diterima bukan suatu kesalahan.

Jelasnya, sekiranya habuan yang diterima itu boleh mempengaruhi keputusan dalam urusan kerajaan seperti tender dan sebagainya, maka ia adalah rasuah yang serius.

“Isu rasuah tak sama seperti kes jenayah lain. Kalau melakukan rompakan dengan tidak ada niat, boleh lagi memohon maaf, mungkin ia tidak terjawab lebih lagi di akhirat.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam berkata, sepanjang tahun 2016 hingga Februari 2017 sahaja, SPRM telah membuka 665 kertas siasatan melibatkan penjawat awam di negara ini.

Daripada jumlah berkenaan katanya, seramai 548 penjawat awam telah ditangkap dan sebanyak 63 kes telah dituduh di mahkamah.

“Ini bukti betapa serius rasuah dalam kalangan penjawat awam dan ia dikhuatiri akan meningkat sekiranya tidak dibendung dari sekarang,” tegasnya.- MalaysiaGazette