sindiket pelacuran itu bergiat aktif sejak tahun lepas dengan menggunakan medium aplikasi WeChat untuk berurus niaga.
KUALA LUMPUR – Seorang siswazah perubatan dari sebuah universiti di Mesir dan seorang pekerja hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 54 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pelacuran di sini sejak tahun lepas.

Khairul Azzuar Yusuff, 28, dan Mohyuddin Ahmad Fajarudin, 23, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Khairul Azzuar, yang masih menunggu panggilan untuk menjalani ‘housemanship’ pada Mei ini, dan Mohyuddin masing-masing didakwa bagi 13 dan sembilan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti persundalan.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Khairul Azzuar dan Mohyuddin juga masing-masing didakwa bagi 23 dan enam pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan itu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 372 (1)(f) kanun sama yang memperuntuk hukuman sama seperti Seksyen 372 A(1) Kanun Keseksaan.

Mereka juga didakwa bersama-sama atas tiga pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan mengikut Seksyen 372 (1)(f) kanun sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa hotel di sekitar ibu negara di antara Jun 2016 dan 7 Feb lepas melibatkan 14 mangsa berusia 16 hingga 41 tahun dengan dua daripadanya di bawah umur dan dua lagi warga Indonesia.

Khairul Azzuar juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Sri Permaisuri, di sini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas manakala Khairul Azzuar diwakili peguam P. Muniswer manakala Ahmad Faris Khairuddin bertindak bagi pihak Mohyuddin.

Demi kepentingan semua pihak, mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, sindiket pelacuran itu bergiat aktif sejak tahun lepas dengan menggunakan medium aplikasi WeChat untuk berurus niaga.

— BERNAMA