Jamil Khir Baharom .

KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Malaysia diminta menunaikan solat hajat Jumaat ini bagi memohon keselamatan ekoran ketegangan hubungan diplomatik negara ini dengan Korea Utara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT agar dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada Malaysia ekoran daripada penahanan 11 orang rakyat Malaysia di sana.

“Justeru, itu saya meminta semua masjid-masjid utama JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta di semua masjid-masjid dan surau-surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat bermula pada 10 Mac 2017 ini dan berterusan sehingga kemelut ini selesai,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Jamil Khir juga memohon kerjasama dan jasabaik pihak majlis agama Islam di negeri-negeri agar turut sama mengadakan solat hajat di masjid di negeri masing-masing bermula pada tarikh yang sama bagi mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada Malaysia dan seluruh rakyatnya.

“Saya menyeru semua umat Islam di seluruh negara agar dapat beramai-ramai menunaikan Solat Hajat tersebut sejurus selepas Solat Jumaat.

“Kita amat berharap agar konflik ini dapat diselesaikan dengan baik serta rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat. Semoga usaha murni ini akan diberkati dan dirahmati Ilahi,” kata Jamil Khir.-MalaysiaGazette