Khalid Abu Bakar (tengah) melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh (kanan) dan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Di-Raja Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abdullah (kiri) pada Majlis Penutup Projek Rintis Balai Polis Moden di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan lelaki warga Korea yang dikenali sebagai Kim Chol adalah Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau tidak boleh mendedahkan bagaimana pengesah identiti lelaki yang diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa (klia2) itu dilakukan.

“Saya tidak boleh menerangkan bagaimana kita melakukannya atas faktor keselamatan saksi-saksi.

“Saya ingin nyatakan kepada anda, mayat lelaki yang dikenali sebagai Kim Chol ialah Jong-nam.

“Apa yang boleh saya katakan polis memenuhi keperluan undang-undang untuk mengesahkan identiti lelaki terbabit,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek Rintis Balai Polis Moden di Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Bagaimanapun Khalid memberitahu, polis merujuk kepada dokumen perjalanan Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol ketika dia meninggal dunia.

Mengulas lanjut Khalid berkata, polis kini menyerahkan mayat lelaki berkenaan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut ekoran polis telah selesai melakukan siasatan.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il didakwa dibunuh oleh dua orang wanita di bawah arahan ejen Korea Utara. Jong-nam secara terbuka mengkritik penguasaan dinasti keluarganya di negara itu. – MalaysiaGazette.