Shi Yuqi

BIRMINGHAM- Pemenang enam kali kejohanan badminton All England, Lin Dan mengalami kekalahan mengejut apabila ditundukkan pemain muda, Shi Yuqi yang pertama kali tampil pada kejohanan itu.

Keputusan itu bermakna tiada pertembungan antara Lin dan dan Datuk Lee Chong Wei seperti yang diramalkan sebelum ini.

Chong Wei dan Lin dan bertemu pada final Sukan Olimpik 2008 dan 2012 dengan Lin Dan memenangi pingat emas pada kedua-dua temasya tersebut manakala Chong Wei mengatasi Lin dan pada separuh akhir Sukan Olimpik di Rio sebelum mengutip pingat perak pada tahun lalu.

Chong Wei yang memburu kejuaraan keempat diheret sehingga ke set penentuan sebelum menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen, 10-21, 21-14, 21-9 pada aksi separuh akhir.

Lin Dan, 33, yang kecewa dengan kekalahan tersebut perlu menerima hakikat masanya telah tiba untuk melepaskan baton kepada generasi baharu, Shi Yuqi, 21, yang melakar kemenangan meyakinkan itu, lapor agensi berita, Xinhua.

Lin Dan mengumpul lima mata pertama sebelum Shi Yuqi mula mengorak langkah untuk bersaing. Persaingan menjadi sengit sehingga ke penghujung dengan Shi Yuqi memenangi set pertama 24-22.

Bagaimanapun, pemain muda itu menguasai set kedua daripada awal permainan.

Pemain nombor 10 dunia itu memenangi set kedua 21-11 untk melangkah ke final All England.

“Ia adalah pemaianan yang baik dan saya sangat gembira kerana ia merupakan kali pertama menyertai All England dan saya menewaskan Lin Dan dan melangkah ke final.

“Saya sangat sangat bernasib baik dan pasukan menyokong saya dan cuba membantu saya, oleh itu saya perlu menghargai mereka,” katanya.