Kedua-dua premis yang diarahkan tutup itu didapati kotor kerana terdapat najis dan bangkai tikus selain lipas yang mati di dalam peti sejuk. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Dua restoran nasi kandar termasuk sebuah restoran terkenal di Jalan Penang, di sini diarah tutup selama dua minggu mulai petang ini selepas gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Satu lagi restoran di jalan sama turut dikenakan kompaun RM1,340 atas kesalahan premis kotor dan tiga pekerja yang tidak mendapatkan suntikan tifoid yang wajib diambil setiap pengendali makanan.

Anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ong Ah Teong berkata kedua-dua premis yang diarahkan tutup itu didapati kotor kerana terdapat najis dan bangkai tikus selain lipas yang mati di dalam peti sejuk.

“Penutupan akan dibuat selepas pukul 3 petang disebabkan kesalahan premis yang mempunyai najis tikus dan lipas yang dekat dengan tin minuman yang amat berbahaya kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi pemeriksaan kebersihan premis makanan di sini, hari ini.

Operasi bermula 10 pagi itu melibatkan MBPP dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Ong berkata kedua-dua premis itu diberi tempoh dua minggu untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Selepas seminggu pengusaha premis ini boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Pulau Pinang untuk datang semula membuat pemeriksaan dan jika didapati bersih dan memuaskan mereka dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

Ong berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam melakukan pemeriksaan dengan lebih kerap, sekurang-kurangnya sebulan dua kali selepas ini.

— BERNAMA