Tunku Ismail Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan tugas di Johor supaya tidak sesekali terlibat dengan budaya rasuah.

Tunku Ismail menegaskan, individu yang diberi tanggungjawab dan amanah perlu menjalankan kewajipan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

“Saya ingin memberi nasihat sedikit terhadap isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan negeri Johor Darul Ta’zim.

“Perlu untuk saya mengingatkan bahawa di negeri Johor ini tidak akan ada tempat untuk mereka-mereka yang tidak mengamalkan integriti dalam tugasan yang diberikan serta terlibat dengan budaya korup,” tegasnya menerusi kenyataan di Facebook Johor Southen Tigers.

Tunku Ismail berkata, negeri Johor tidak ‘mempunyai tempat’ untuk pengamal rasuah dan individu yang terlibat dengan penyelewengan.

“Sekiranya anda mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada rakyat, sebagai mana yang DYMM Tuanku (Sultan Ibrahim) pernah bertitah, anda tidak layak berada di negeri Johor dan kami akan pastikan anda tidak mempunyai tempat di negeri berdaulat ini,” ujarnya.

Akhir bulan lepas, sekurangnya-kurangnya enam individu ditahan bersama seorang kontraktor masing-masing dipercayai terlibat dalam kes rasuah dan penyelewengan terbesar hartanah di Johor.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menahan seorang anggota Exco kerajaan negeri berkenaan pada 9 Mac lalu bagi membantu kes sama.

Sebanyak 150 beg tangan pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Vellfire dan wang tunai berjumlah RM41,000 turut dirampas oleh SPRM hasil geledah di rumah Exco terbabit. – MalaysiaGazette