KUALA LUMPUR – MCA menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu yang memandu secara melulu melawan arus sehingga mengakibatkan kematian di Pulau Pinang semalam.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengecam pemandu tersebut dan mahu tindakan undang-undang diambil bagi mengelak insiden sama berulang.

“Saya mengecam pemanduan tidak bertanggungjawab dan cuai di Lebuh Raya Utara-Selatan sehingga mengakibatkan kematian dan beberapa kemalangan pada pagi Selasa.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dalam kes ini mengikut undang-undang tertinggi dan mencegah daripada kes seumpama ini daripada berulang pada masa depan,” kata Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini.

Ka Siong juga berkata kecuaian pemandu tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana jelas ia sangat membahayakan orang ramai.

Semalam, seorang remaja perempuan ditahan kerana mengakibatkan kemalangan maut seorang pekerja kilang di Km134, Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah.

Dalam kejadian berlaku jam 7.50 pagi itu berhampiran susur masuk ke Permatang Pauh menyebabkan mangsa, Mohamad Fandi Rosli, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, polis percaya remaja berumur 19 tahun itu yang memandu Proton Gen-2 memandu dalam keadaan mabuk datang dari arah ke utara. – MalaysiaGazette