Yayasan Pelajaran Johor

KUALA LUMPUR – Anak-anak negeri Johor yang baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 dipelawa untuk memasuki institusi pendidikan milik kerajaan negeri itu.

Menerusi kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka boleh menyambung pengajian di peringkat sijil dan diploma di bawah kelolaan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh pelajar SPM yang berjaya mencapai kecemerlangan. Syabas juga diucapkan kepada semua ‘cikgu’ yang telah mendidik pelajar dengan sebaiknya sehingga dapa membanggakan ibu bapa, guru, daerah dan Negeri Johor ini.

“Berdasarkan keputusan yang diperoleh, negeri Johor telah dapat meningkatkan gred purata nasional daripada 5.06 kepada 4.94 pada tahun ini.

“Saya mengalu-alukan pendaftaran pelajar lepasan SPM ini ke kolej atau universiti milik kerajaan negeri seperti Yayasan Pelajaran Johor untuk menyambung pelajaran ke peringkat sijil dan diploma,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada hakikatnya telah ramai yang mendapat keputusan cemerlang di tahun-tahun yang lalu menyambung pengajian di kolej-kolej bawah kelolaan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberikan dan membekalkan pendidikan terbaik kepada semua rakyatnya demi masa depan yang lebih baik. – MalaysiaGazette