Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan langkah penubuhan lebih banyak parti baharu akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Kenyataan Lokman itu dibuat susulan hasrat bekas naib ketua bahagian UMNO, Datuk Khairuddin Abu Hassan bersama bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyatakan mahu menubuhkan parti baharu.

“Hasrat menubuhkan parti baru jelas menunjukkan dua manusia ini iaitu Ezam dan Khairuddin adalah manusia yang berjuang hanya untuk tembolok sendiri.

“Bagi saya, sebarang usaha untuk mewujudkan parti baru di kalangan pembangkang akan menguntungkan BN,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tindakan kedua-dua pemimpin itu disifatkan sebagai kecewa dengan pimpinan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas peranan mereka tidak dihargai, kata Lokman.

“Mereka berdua sudahpun menyertai PPBM sebelum ini, namun apabila gagal mendapat tempat atau peranan penting dalam PPBM, mereka meninggalkan parti tersebut,” katanya.

Lokman juga mendedahkan kedua-dua mereka mahu bertanding secara bersendirian dan tindakan Ezam mengatakan mahu bertanding melawan Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan sekadar cuba melonjak populariti dalam arena politik selepas tidak lagi dihiraukan.

“Daripada maklumat dalaman yang saya terima, Khairuddin akan bertanding di kerusi Titiwangsa, manakala Ezam pula apabila gagal mendapatkan kerusi Shah Alam yang beliau inginkan, beliau akan bertanding menentang YAB Perdana Menteri kita di Pekan bagi melonjakkan semula populariti beliau yang sudah semakin malap kini,” katanya.

Menurut Lokman lagi, gabungan pembangkang, Pakatan Harapan kini dalam keadaan tersepit selepas pertembungan tiga penjuru semakin hampir pasti tidak dapat dielak lagi.

“Mereka hampir pasti akan gagal memberikan saingan kepada BN kerana Pas kini sudah bebas untuk bertanding dimana jua tanpa terikat dengan keputusan BN mahupun Pakatan Harapan.

“Ini akan membolehkan BN menang besar pada PRU14 dan Ezam mungkin akan membuat keputusan melakukan pusingan U dan kembali kepada UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette