Home Utama Jangan terperangkap agenda jahat pembangkang – PM

Jangan terperangkap agenda jahat pembangkang – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyeru rakyat menyemak dan meneliti setiap berita yang disebarkan oleh pembangkang bagi mengelak terperangkap dengan agenda jahat mereka.

Datuk Seri Najib Razak berkata, berbohong bagi pembangkang adalah perkara biasa asalkan dapat meraih undi.

“Pembohongan sudah sebati dengan pembangkang. Ingat tak lagi ketika PRU13 dahulu, pembangkang sebarkan cerita seperti Lynas dan 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh?

“Apa jadi dengan cerita-cerita sebegini? Terbukti semua ini pembohongan semata-mata.
Berita yang disebarkan pembangkang bukan dibuat berdasarkan fakta yang sahih, mereka buat untuk mengelirukan rakyat supaya marah kepada kerajaan,” kata Najib dalam Facebooknya.

Tambahnya, isu kilang Lynas misalnya juga hangat diperkatakan apabila pembangkang menggambarkan seolah-olah wujud sebuah kilang nuklear yang membahayakan penduduk kerana tahap radiasi tinggi.

Sedangkan, Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menunjukkan tahap radiasi di kawasan kilang itu lebih rendah berbanding di bandar Kuantan.

“Sekarang? Senyap sepi, batang hidung mereka pun tidak kelihatan lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette