HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua murid Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 yang dihanyutkan air deras di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini diteruskan hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata operasi yang ditangguhkan pukul 7 malam tadi berikutan faktor cuaca disambung pada pukul 10 pagi ini.
Dua pelajar yang masih belum ditemui itu dikenal pasti sebagai Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, dan Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12.
“Operasi hari ini akan ditumpukan di kawasan mangsa mula dihanyutkan arus deras dan diperluaskan sehingga muara Sungai Selangor serta melibatkan lima kilometer radius pencarian,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata operasi, yang masuk hari ketiga itu disertai oleh 97 anggota dan pegawai termasuk orang awam dengan menggunakan lima aset bot Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang Jumaat lepas, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di Sungai Selangor itu.
Seorang daripada mereka selamat manakala lima lagi ditemukan lemas.
Lima mangsa yang meninggal dunia akibat lemas ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.
— BERNAMA
















