GHANA – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas pokok besar menghempap pengunjung di kawasan air terjun popular di Kintampo.

Kejadian itu berlaku mangsa-mangsa sedang berenang di kawasan pelancongan itu.

Pasukan polis dan bomba tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap akibat dihempap di bawah pokok besar.

“Sebatang pokok besar tumbang sebaik sahaja hujan mula turun dan menghempap mangsa-mangsa,” kata seorang saksi.

Kebanyakan mereka adalah pelajar di Sekolah Tinggi Wenchi dan bakinya adalah para pelancong.

Usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dilakukan dengan memotong pokok tersebut.

Jurucakap Perkhidmatan Bomba, Anaglate memberitahu18 pelajar terkorban di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di hospital

Beliau berkata, 11 orang sedang menerima rawatan, termasuk salah seorang pentadbir sekolah yang terlibat membawa pelajar-pelajar berkenaan.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan mangsa-mangsa yang cedera,” kata Menteri Pelancongan Ghana, Catherine Abelema Afeku. – MalaysiaGazette