Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji bagaimana untuk membantu rakyat golongan pertengahan yang juga banyak terkesan dengan kenaikan kos hidup yang berlaku sekarang.

Sumber Putrajaya berkata, kajian itu merupakan bukti kerajaan amat prihatin dengan nasib golongan tersebut yang selama ini mendakwa ‘terperangkap’ dengan persekitaran ekonomi yang mencabar tetapi tidak layak mendapat bantuan.

Bagaimanapun, katanya, sebarang bentuk bantuan atau insentif bergantung kepada pendapatan negara terutama daripada sumber hasil minyak dan gas.

“Semua negara di dunia menaruh harapan kenaikan harga minyak. Jika trend kenaikan terus positif, banyak perancangan kerajaan untuk rakyat boleh dilakukan.

“Kerajaan sudah membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan kerajaan juga sedang mencari jalan menangani kesan kenaikan kos hidup bagi golongan pertengahan atau M40.

“Ini kerana golongan M40 juga mengalami tekanan yang sama dengan B40 berikutan kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ditanya ada penanda aras harga minyak yang disasarkan oleh kerajaan bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada M40, sumber yang sama berkata, sekiranya harga minyak mencecah AS$100 setong, negara akan mempunyai lebihan dana yang memadai.

Bagaimanapun, sumber enggan mengulas sama ada bantuan itu akan diumumkan menjelang Bajet 2018 atau sebelum tempoh itu.

Jelas sumber, bantuan tersebut tidak semestinya dalam bentuk bantuan kewangan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tetapi dalam pelbagai bentuk.

“Yang penting kerajaan mahu segenap lapisan rakyat gembira meskipun situasi ekonomi semasa mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette