Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah bercakap pada Program Kembara Sihat 1 Malaysia Ziarah Senyum di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 22 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Isu melibatkan pencarian pewaris tanah menjadi cabaran utama usaha membangunkan Kampung Baru sejak pelan induk pembangunan satu-satunya perkampungan orang Melayu di Kuala Lumpur itu dilancarkan sejak dua tahun lepas.

Ekoran daripada masalah tersebut, pembangunan di Kampung Baru berjalan secara perlahan dan berperingkat-peringkat, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB), Datuk Affendi Zahari.

“Cabaran di Kampung Baru ini berbeza, pertama, kita ada masalah tanah dimana tiap-tiap lot ini kecil dan pada zaman ini nak buat pembangunan pasti tidak lulus.

“Dalam lot-lot ini pula terlampau banyak pewaris, hendak kemaskan pemilikan ini ambil masa dan ini satu proses yang rumit,” katanya semasa ditemui di Masjid Jamek Kampung Bharu hari ini.

Setakat ini, PKB hanya berjaya menyelesaikan 18 lot tanah daripada 1,530 lot tanah keseluruhan yang terdapat di kampung berkenaan.

Mengakui tugas untuk menyelesaikan isu pemilikan itu sukar, Affendi menjelaskan, PKB mengadakan klinik dua kali sebulan bagi memudahkan isu tanah itu dapat diselesaikan.

“Kita dua klinik dua kali sebulan dengan pejabat tanah dan galian, Amanah Raya Berhad yang bekerjasama dengan PKB dan orang ramai boleh datang duduk bincang mengenai masalah di Kampung Baru dan mereka ini akan cuba selesaikannya,” kata beliau.

Selain itu, daripada 1,530 lot tanah itu pula terdapat hampir 5,000 lebih waris yang tidak dapat dikesan, kata Affendi.

Ia berbeza dengan tanah di Putrajaya dan Iskandar, kawasan Kampung Baru sudah mempunyai penempatan dan ia memakan masa bagi mendapatkan kelulusan sahaja.

“Berbeza dengan Putrajaya dan Iskandar disitu hanya kawasan kelapa sawit, kamu hanya perlu bawa wang dan idea untuk membangunkannya,” katanya.

Kerajaan pada tahun 2015 lmelancarkan Pelan Induk Terperinci­ Pembangunan Kampung Baru yang melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar RM61 bilion dan merangkumi kawasan lantai pembangunan seluas 8.36 juta meter persegi.

Pelan induk itu memfokuskan kepada dua aspek penting iaitu perancangan fizikal dan pengurusan pembangunan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu kota dengan berkeluasan 121.9 hektar.

Projek pembangunan tersebut apabila siap kelak tiga kali lebih luas daripada pembangunan ke­seluruhan Menara Berkembar Petronas dan bakal mewujudkan sehingga 46,237 peluang pekerjaan menjelang tahun 2035. – MalaysiaGazette