Datuk Seri Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengemukakan tarikh dan lokasi baharu untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas polis tidak memberi permit bagi mengadakan program itu di lokasi asal.

Katanya beliau telah meminta pihak penganjur untuk mengadakan debat itu di kawasan pejabat Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam pada 7 April depan.

“Saya minta pihak penganjur supaya debat itu diadakan di kawasan pejabat itu kerana ia tidak memerlukan keizinan pihak polis.

“Ia juga bukan perhimpunan awam. Ia tertakluk dalam kawasan Karangkraf dan mereka dalam proses menghubungi pihak Tun (Dr Mahathir) untuk memberitahu apa yang telah dipersetujui ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Polis Perak dalam kenyataan hari ini menolak permohonan permit untuk program debat itu kerana penganjur lewat menghantar permohonan bagi program itu yang dijadualkan Sabtu ini.

Lokasi asalnya di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Kangsar, Perak, juga mendapat bantahan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan itu.

Semasa diminta mengulas mengenai larangan terhadap petugas media daripada berkumpul di lobi Parlimen, Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata perkara itu akan dibincangkan dengan para jemaah menteri.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini membuat ketetapan melarang petugas media daripada berkumpul di lobi Parlimen berkuat kuasa serta merta.

Beliau hanya membenarkan mereka berada di pusat media yang disediakan.

— BERNAMA