Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) sempat meluangkan masa berswafoto dengan artis jemputan dan pelajar-pelajar IPT pada Program Bicara Komuniti TN50 di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 23 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa masih menikmati gaji dan elaun sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) walaupun sedang bercuti daripada jawatan itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini isu dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Ahli Parlimen Ketereh itu sedang disiasat oleh ahli jawatankuasa audit.

“Seperti saya tegaskan dan arahkan daripada awal, siasatan akan dipercepatkan. Annuar masih lagi Pengerusi MARA dan menikmati gaji dan elaun. Beliau cuti bergaji.

“Jadi ahli jawatankuasa akan percepat siasatan agar kes ini tidak tergantung terlalu lama,” katanya dalam sidang media selepas program Bicara Komuniti TN50 di sini hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas perkembangan terkini kes Annuar dan sama ada pihak kementerian akan mencari pengganti Pengerusi MARA baharu sekiranya siasatan kes itu akan mengambil masa yang lama.

Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) berkuat kuasa serta-merta dalam satu mesyuarat yang diputuskan pada 31 Januari lalu.

Keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan siasatan dalaman dilakukan berhubung isu penajaan membabitkan pasukan bola sepak Kelantan.

Sementara itu, pada 13 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap kes tersebut telah pun selesai.

Kertas siasatan kes itu telah dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk penelitian selanjutnya. – MalaysiaGazette