Tan Sri Annuar Musa mengumumkan menarik diri dari bertanding jawatan presiden FAM dalam sidang media khas di Parlimen.

KUALA LUMPUR – Penasihat Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berharap Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan dipilih menduduki kerusi tertinggi tersebut.

Sambil menolak beliau dipaksa mengambil keputusan tersebut, Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan, ia juga tiada kena mengena dengan keputusan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk tidak bertanding jawatan itu.

“Tiada ada paksaan daripada sesiapa untuk saya tarik diri bertanding jawatan Presiden FAM.

“Tindakan saya tidak ada kena mengena dengan tarik diri daripada Khairy Jamaluddin,” katanya dalam satu sidang media khas di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau perlu berfikir secara tenang dalam soal bola sepak dan tidak mahu timbul suasana yang kurang enak semata-mata kerana keputusannya mahu bertanding sebelum ini.

“Macam nak bergaduh sebab saya bertanding dengan TMJ, sebab saya bertanding ramai penyokong antara kedua-dua pihak bergaduh,” katanya.

Menurut Pengerusi MARA itu, menarik diri ertinya menarik diri daripada bertanding, justeru nama beliau tetap kekal di dalam petak undi, bagaimanapun, katanya, tidak perlulah sesiapa pun mengundinya.

“TMJ kawan saya, kami saling berhubung. Penarikan diri dari arena bola sepak, kalau saya bertanding keadaan masih sama,” katanya.

Annuar berkata, beliau tidak berbincang dengan mana-mana pihak sebelum membuat keputusan menarik diri itu,.

“Kalau saya berbincang akan ada pelbagai pendapat mengenai penarikan diri saya dalam jawatan Presiden FAM,” katanya.

Pendiriannya untuk menarik diri itu juga belum dimaklumkan kepada FAM.  – MalaysiaGazette