KUALA LUMPUR – Semua lebuh raya PLUS akan beroperasi secara elektronik mulai 26 April ini.

Bermula pada tarikh tersebut, tiada lagi transaksi tol secara tunai dan orang ramai perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Pelaksanaan operasi elektronik fasa terakhir pada 26 April ini melibatkan 71 buah lagi plaza tol di antara Juru hingga Skudai.

“Dengan pelaksanaan ini, semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS akan beroperasi secara elektronik sepenuhnya. Sebelum ini, inisiatif yang sama telah dilaksanakan secara berperingkat di beberapa laluan lebuh raya sejak tahun 2008,” kata Azman.

Berdasarkan rekod PLUS, kira-kira 94 peratus pengguna yang menggunakan laluan Lebuhraya Utara-Selatan di antara Juru dan Skudai menggunakan sistem pembayaran tol secara elektronik pada ketika ini.

“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang masih belum berbuat demikian supaya mendapatkan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go di mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di sepanjang lebuh raya sebelum 26 April ini,” katanya.

Menurut Azman, pembayaran tol menggunakan sistem elektronik adalah jauh lebih pantas dan lebih selesa berbanding pembayaran secara tunai.

Lorong SmartTAG mampu mengendalikan 1,000 transaksi dalam tempoh satu jam manakala Lorong Touch ‘n Go pula boleh mengendalikan 600 transaksi dalam tempoh yang sama.

Lorong Tunai (Keluar) pula hanya mampu mengendalikan 180 transaksi sahaja dalam masa satu jam.

Tambah Azman, untuk memastikan kelancaran operasi, PLUS juga secara agresif dan mengambil pelbagai langkah untuk mengelak kejadian gangguan terhadap sistem elektronik sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini. – MalaysiaGazette