AHLI Dewan Undangan Damansara Utama, Yeo Bee Yin bersama troli membawa dokumen semasa NGO yang diketuai Datuk Seri Jamal Md. Yunos membuat laporan mengenai Bee Yin di SPRM Selangor di Shah Alam petang tadi.

SHAH ALAM – Jika Datuk Seri Jamal Md. Yunos pandai buat gimik nampaknya wakil rakyat DAP juga apa kurangnya.

Petang tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin hadir membawa troli yang dipenuhi fail ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Kehadirannya dilihat bagi membantah tindakan Jamal dan Gabungan NGO Selangor membuat laporan ke SPRM ekoran isu dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Menurutnya fail-fail yang dibawa bersama wakil rakyat DAP itu sebagai bukti dokumen berkaitan dana YAWAS.

Bagaimanapun hasrat Bee Yin mahu ‘bertemu’ dengan Jamal hampa kerana Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu bercuti di Terengganu.

Laporan SPRM hari ini diwakili oleh peguamnya, Datuk Mohd. Imran Tamrin.

Peguam Gabungan NGO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin bersama ADUN Yeo Bee Yin di pejabat SPRM Selangor petang tadi.
Peguam Gabungan NGO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin bersama ADUN Yeo Bee Yin di pejabat SPRM Selangor petang tadi.

Jamal bagaimanapun dalam entri media sosialnya menyifatkan Bee Yin seorang yang gelabah.

“Kami baru buat laporan kepada SPRM dan SPRM belum siasat dia (Bee Yin) sudah datang ke pejabat SPRM. Nampak sangat beliau gelabah,” ujar Jamal lagi.

Laporan SPRM yang dibuat Mohd. Imran hari ini terhadap Bee Yin atas dakwaan penyelewengan dan ketirisan serta salah guna dana YAWAS.-MalaysiaGazette