Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Dua daripada lima rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Filipina sejak Julai tahun lepas dijangka tiba di Kuala Lumpur esok.

Tanpa mendedahkan tempat dan waktu mereka tiba, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka akan diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

“Ketika ini mereka berada di Manila, Filipina bersama pihak berkuasa di sana dan akan tiba di Kuala Lumpur esok,” kata Khalid yang enggan mengulas lanjut.

Khalid berkata demikian selepas menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 Tahun 2017 di Pusat Latihan Polis di sini, Sabtu.

Semalam, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan mereka diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di selatan republik itu.

Mereka ialah Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, iaitu kru kapal tunda Serudong Tiga yang diculik oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai lepas.

Sebelum ini, media asing melaporkan, kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak sihat diselamatkan oleh bot pasukan peronda Marin Filipina di perairan Pulau Pata di selatan Filipina.

Sehingga kini, tiga lagi warga Malaysia masih ditahan pengganas Abu Sayyaf iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang juga kru kapal tunda Serudong Tiga.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pembunuhan Kim Jong-nam, Khalid berkata pihaknya masih meneruskan siasatan.

“Setakat ini tiada perkembangan baharu, kami masih memburu tiga lagi suspek yang dipercayai masih berada di dalam Kedutaan Korea Utara di sini.

“Kami minta mereka (suspek Jong-nam) untuk serah diri dan bekerjasama dengan polis dalam siasatan kes ini,” katanya enggan mengulas lanjut.

Tiga individu yang dipercayai berada di premis kedutaan Korea Utara ialah Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang-song, 44, dan kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37, serta Ri Ji-u, 30, yang juga dikenali sebagai James.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Jong-nam, yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol, mati ketika dibawa ke Hospital Putrajaya.

— BERNAMA