Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

MELAKA – Kerajaan telah menubuhkan pasukan khas yang berperanan melaksanakan beberapa langkah segera dalam menambah baik pengurusan senjata api Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata menerusi pasukan khas berkenaan, urusetia persenjataan RELA akan melaksanakan piawaian baharu yang perlu dipatuhi anggota dan pegawai RELA dalam penggunaan senjata api jabatan itu.

Tindakan menyeluruh termasuk manual pengurusan senjata api yang sedia ada perlu dilaksanakan dan semua arahan tetap Ketua Pengarah RELA dikuatkuasakan serta merta.

“Kita juga telah menubuhkan pasukan naziran senjata api di pejabat RELA Malaysia, melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap senjata api serta penambahbaikan tatacara pengeluaran senjata api,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pelan pengurusan jangka panjang senjata api RELA turut dirangka antaranya menambah baik stor penyimpanan senjata api dan meningkatkan kemahiran anggota RELA dalam pengurusan persenjataan.

Beliau berkata jawatan Pegawai Unit Persenjataan (AMRA) akan diwujudkan bagi menjaga dan mengurus semua hal berkaitan senjata api jabatan berkenaan secara lebih efisien dan telus.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi anggota RELA yang terlibat dalam kes kehilangan senjata api jabatan itu.

“Dalam siasatan (awal) didapati bahawa anggota berkenaan telah menjual senjata api tersebut sejak 2012 dan berdasarkan pengauditan yang dilakukan polis mendapati terdapat penyelewengan dilakukan anggota RELA tersebut.

Siasatan kes ini kita serahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi tindakan sewajarnya…saya sebutkan bahawa kita tidak akan berkompromi dan melindungi individu terbabit. Hasil siasatan itu kita akan serahkan kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan enam individu di Kedah dan Perak ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti jual dan beli sebahagian daripada 44 laras senjata api milik Pasukan RELA daerah Selama, Perak, yang dikesan hilang sejak awal bulan ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas Unit Penguat Kuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan, Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan RELA, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata tindakan tegas akan diambil terhadap anggota Jabatan Imigresen Melaka yang didakwa merogol seorang wanita warga Thailand di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah, dua minggu lepas.

“Kita mahu kembalikan persepsi positif masyarakat terhadap Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa yang lain. Kita tidak pernah melindunginya dan kita harap dengan tindakan ini (tegas) ia memberi kebolehpercayaan yang tinggi kepada kita,” katanya.-MalaysiaGazette