Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Seramai lima guru sekolah diberi surat tunjuk daripada Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan penjelasan kerana mereka didakwa menaiki pentas politik pembangkang untuk menghentam kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun enggan mendedahkan identiti, sekolah dan negeri kelima-lima guru itu berkhidmat.

Katanya, pihaknya telah menghantar surat bertempoh dua minggu itu kepada mereka yang masih bertugas baru-baru ini.

“Dalam pengetahuan saya lima orang guru terlibat dan kita tahulah di waktu pagi dia menjadi guru dan malam dia naik pentas pembangkang dan berceramah hentam kerajaan.

“Siasatan juga mendapati ada diantara mereka memegang jawatan dalam parti politik (pembangkang) tak kisah kamu naik oentas DAP ke Bunga ke (PPBM) Amanah atau PKR, dia hentam kerajaan pula.

“Surat tunjuk sebab itu diberi atas status perlanggaran perintah am Perkhidmatan Awam,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Penggunaan Kertas Kitar Semula 100 peratus anjuran Malaysian Newsprint Industries Sdn. Bhd.

Beliau menjawab soalan pemberita ketika ditanya mengenai tindakan kementerian dalam insiden guru yang didapati menaiki pentas politik pembangkang dan menghantam kerajaan baru-baru ini.

Beliau juga membidas tindakan sebuah portal media pro pembangkang yang menyalahtafsir maksud sebenar dalam tajuk berita yang menghentam beliau sebagai menteri dalam perkara yang sama.

“Yang saya maksudkannya ialah guru-guru yang masih bersekolah tetapi sudah naik pentas pembangkang dan hentam kerajaan, janganlah sampai situasi begitu, patut dia henti jadi guru, itu sebenarnya saya cuba maksudkan, tapi disalah tafsir,” ujarnya lagi.

Dalam perkara ini, katanya kementerian memberi surat tunjuk sebab meminta kelima-lima guru itu memberi penjelasan kenapa naik pentas dan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib boleh bersidang sekiranya mereka mengulangi perbuatan itu lagi.

Difahamkan bahawa seseorang kakitangan awam boleh dikenakan amaran sebanyak tiga kali sebelum dirujuk jawatankusa tatatertib untuk tindakan susulan seperti dipecat sekiranya perbuatan itu diulangi setelah proses tunjuk sebab.

Katanya pegawai kerajaan tertakluk kepada perintah awam dalam perkhidmatan awam dan salah laku guru berkenaan tertakluk dibawahnya.

“Pertama kita beri surat tunjuk sebab kepada mereka supaya jawab dulu atas perbuatan dia..kalau dia buat lagi jawatankuasa tatatertib boleh bersidang mengikut perintah am untuk tindakan susulan sekiranya perlu.

“Kami cuba beri keadilan dan masih nasihat, saya bukan lah ganas sangat.

“Kamu lahir sebagai cucu kepada Pas ke atau dalam keluarga DAP tak kisah tapi janganlah sampai kamu sudah menjadi guru selaku kakitangan awam dan hentam kerajaan dan lawan.

“Sekadar mengkritik dan menegur menteri atau kerajaan sebagai membina atau memperbetulkan kesilapan tidak apa. Jangan sampai naik pentas dan media sosial hentam kerjaan dan berfitnah dengan kedudukan sebagai kakitangan awam yang terikat dengan peraturan awam kerajaan.

“Saya nasihatkan kalau dalam kalangan mereka terlampau obses untuk pembangkang patut jangan sampai ke tahap begitu..beradat sedikit.

“Janganlah terlampau sangat naik pentas maki hamun guna perkataan bukan-bukan,”tegasnya lagi.-Malaysia Gazette