Abdul Wahid Omar (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad menunjukan agihan pendapatan ASB2, ASM dan ASG pada taklimat Prestasi Tahunan PNB bagi Tahun 2016/2017 di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 27 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) dan 6.50 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2).

Pengagihan pendapatan bagi tiga dana di bawah Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan, masing-masing adalah 4.50, 4.25 dan 5.15 sen seunit.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pengagihan pendapatan ASM melibatkan pembayaran kira-kira RM1 bilion.

ASM mempunyai 500,000 pemegang saham yang melanggan 17.3 bilion unit.

Sehingga 28 Februari lalu, ASM mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.2 bilion melalui keuntungan jualan saham menyumbang RM622.2 juta.

Pendapatan dividen pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang RM404.2 juta manakala baki pendapatan sebanyak RM160.9 juta diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Sementara itu, agihan pendapatan ASB2 melibatkan pembayaran sebanyak RM384.7 juta yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 pemegang unit yang melanggan 7.4 bilion unit.

Sehingga 28 Februari lalu, ASB2 merekodkan pendapatan kasar sebanyak RM349.8 juta.

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM158.8 juta kepada pendapatan kasar dan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat sebanyak RM133.2 juta.

Pendapatan sejumlah RM57.8 juta diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASM dan ASB2 berdasarkan purata baki pegangan minimum sepanjang tahun kewangan masing-masing.

Bagaimanapun, pemegang unit ASB2 mesti mengekalkan sekurang-kurangnya 10 unit dalam akaun mereka pada tarikh pengagihan pendapatan untuk layak menerima agihan pendapatan.

Pengagihan pendapatan ASM dan ASB2 akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April ini.

Abdul Wahid berkata, sejumlah RM138 juta diperuntukan untuk agihan kepada 140,000 pemegang unit ASG yang melanggan 3.1 bilion unit dana itu.

Pengiraan agihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana ASG berdasarkan baki unit yang dipegang pada 31 Mac 2017. – MalaysiaGazette