Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Amalan kesederhanaan yang diterapkan oleh kerajaan Malaysia kepada penduduknya yang berbilang agama dan kaum juga mendapat pujian Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata, ia terbukti apabila Raja Arab Saudi itu bersetuju untuk menubuhkan sebuah yayasan dibawah namanya sendiri bagi membawa konsep wasatiyyah seperti yang diperkenalkan oleh Malaysia ke mata dunia untuk membendung ekstremisme.

“Raja Salman bersetuju untuk mewujudkan King Salman Centre Global For Peace di Malaysia ini sebagai contoh dimana kita boleh bekerjasama dengan negara lain untuk meyebar luas kefahaman wasatiyyah ini,” katanya di Dewan Rakyat pagi ini semasa menjawab soalan berhubung konsep wasatiyyah yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi.

Bukan itu sahaja, Raja Salman juga, kata Najib, mengiiktraf dan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh yang maju dan dinamik dalam kalangan negara Islam lain.

“Raja Salman dan penjaga dua masjid bagi umat Islam, yakni Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi telah memuji Malaysia yang mengamalkan kesederhanaan dengan begitu berjaya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah berjaya menyediakan Pelan Strategik Lima Tahun pendekatan wasatiyyah yang bermula dari tahun 2016 hingga tahun 2020.

“Justeru, bagi merealisasikan pelan strategik ini, Institut Wasatiyyah Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri telah dilantik agensi penyelaras untuk melaksanakan Pendekatan Wasatiyyah yang berperanan sebagai pusat sehenti,” katanya.

Menurut Najib, konsep yang dibawa oleh kerajaan ini penting bagi mengelak rakyat Malaysia terperangkap dengan ideologi yang terlalu ekstrem sehingga membawa kemudaratan.

“Sememangnya wasatiyyah ini, amat penting diamalkan supaya setiap rakyat di negara ini tidak terperangkap dengan fahaman mahupun ideologi terlalu ekstrem, tidak pula terlalu liberal sehingga terjerumus ke kancah salah tafsirnya konsep jihad sebagaimana ancaman IS serta Daesh,” ujarnya.

Bagaimanapun, Najib mengakui ia bukan satu perkara yang mudah untuk mengajak orang ramai mengamalkan nilai kesederhanaan.

“Ini merupakan satu cabaran amat besar bagi kita sebab untuk menimbulkan kemarahan malah kebencian sebaik satu perasaan emosi adalah lebih mudah lagi daripada kita nak mengajak orang untuk mengamalkan prinsip nilai kesederhanaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib juga berkata, kerajaan bakal menyisipkan konsep wasatiyyah dalam kokurikulum di sekolah dan universiti untuk ia lebih difahami diperingkat awal.-MalaysiaGazette.