Antonio Conte sedia menolak tawaran rekod dunia untuk Eden Hazard daripada Real Madrid akhir musim ini.

STAMFORD BRIDGE – Pengurus pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea, Antonio Conte bersedia untuk menolak bidaan rekod dunia dari Real Madrid untuk Eden Hazard musim ini walaupun ditawarkan RM554 juta.

Gergasi la Liga Sepanyol, Real Madrid cuba menguji bekas pengurus Itali dan Juventus itu dengan bersedia menawarkan £100 juta.

Bagaimanapun laporan di Stamford Bridge berkata, Conte tidak bersedia untuk melepaskan bintang kelahiran Belgium itu.

Hazard sedang berada dalam prestasi terbaik dibawah bimbingan musim pertama Conte sejak dilantik sebagai pengurus akhir musim lalu.

Eden Hazard sedang diburu Real Madrid yang meletakkan nilai RM554 juta menjelang jendela perpindahan pemain akhir musim ini.
Eden Hazard sedang diburu Real Madrid yang meletakkan nilai RM554 juta menjelang jendela perpindahan pemain akhir musim ini.

Hazard berjaya menjaringkan 12 gol dalam 31 penampilan bersama The Blues musim ini yang mendahului carta liga.

Pengurus kelahiran Perancis, Zinedine Zidane merupakan peminat pemain berusia 26 tahun itu dan berhasrat untuk membawa Hazard ke Sepanyol.

Zidane dikatakan sedia bertukar pemain James Rodriguez sebagai sebahagian tawaran mendapatkan Hazard dari Chelsea.

Pun begitu, sebuah akhbar di Belgium melaporkan Chelsea tidak berniat untuk membenarkan transaksi perpindahan pemain itu musim ini.

Tawaran lumayan daripada Real Madrid juga dikatakan akan ditolak Conte.

Pemilik kelab itu Roman Abramovich didakwa memaklumkan Conte bahawa dia tidak akan dipaksa melepaskan mana-mana pemain bintangnya.- MalaysiaGazette